Monday, October 6, 2008

Cuil enjin pesaing Google?


DUNIA Internet mengalami satu lagi evolusi apabila enjin carian Cuil dilancarkan pada 28 Julai lalu. Ia dibangunkan oleh beberapa individu yang berpengalaman dalam teknologi enjin carian termasuk Tom Castello yang pernah terlibat dalam projek IBM Webfountain, isterinya, Anna Patterson dan Russell Power yang merupakan antara jurutera yang bertanggungjawab dalam pembangunan Google.

Cuil mensasarkan untuk mengenepikan Google sebagai enjin carian nombor satu dunia, sekali pun sedia maklum dengan kesukaran menukar tabiat pengguna melayari Internet. Cuil atau sebutannya kool menawarkan perkhidmatan mereka di www.cuil.com yang dikatakan mampu melakukan pengindeksan lebih komprehensif dan pantas dengan kos yang lebih rendah berbanding Google selain mempunyai paparan grafik yang unik.

Pesaing Google ini dikatakan menggunakan teknik carian yang berbeza daripada kaedah yang lazim digunakan oleh enjin carian lain. Ia menumpukan kepada pautan dan corak trafik. Sebaliknya, ia menganalisis konteks setiap laman dan permintaan pengguna.

Cuil bukanlah satu-satunya enjin carian yang cuba menyaingi Google. Sebelum ini pun telah banyak enjin carian cuba menundukkannya, tetapi gagal.

Enjin carian seperti Hakia, Mahalo dan Search Wikia sehingga hari ini masih belum menggoyahkan kedudukan Google. Malah, Yahoo, Microsoft dan Askme.com yang muncul lebih awal daripada Google dan ditewaskan Google, masih belum mampu merampas kembali takhta mereka. Jadi apakah yang membuatkan Cuil begitu istimewa?

Menurut penganalisa carian web, Danny Sullivan Cuil boleh mengeksploitasi kekurangan yang terdapat pada Google yang berdasarkan aduan yang dibuat oleh pengguna. Salah satu 'kelemahan' yang dilihat ialah fungsi cariannya sering mengeluarkan hasil yang lebih mengutamakan laman web popular dan berpengaruh.

Menurut Sullivan, masanya mungkin telah tiba untuk pencabar tetapi ia merupakan satu tugas yang benar-benar mencabar. Microsoft sebelum ini gagal dalam usaha untuk berkompromi dengan Yahoo bagi menumbangkan dominasi Google.

Hak privasi pengguna merupakan satu lagi pendekatan yang digunakan Cuil. Menurut Cuil, ia lebih menumpukan kepada kandungan sesebuah halaman berbanding kaedah memeriksa sejarah lawatan pengguna. Oleh itu, Cuil tidak perlu menyimpan maklumat peribadi pengguna atau mengetahui mana-mana laman web yang pernah dikunjungi pengguna.

CUIL lebih menumpukan kepada kandungan sesebuah halaman berbanding kaedah memeriksa sejarah lawatan pengguna.

Cuil juga dikatakan mempunyai indeks yang terbesar di web dengan lebih 120 bilion laman web telah diindeks. Dengan kata lain, saiz pengindeksan yang dilakukan Cuil adalah tiga kali lebih besar berbanding Google dan sepuluh kali berbanding Microsoft. Ia mampu membuat pengindeksan sedemikian rupa dengan teknologi algoritma relevan unik - membolehkan penapisan dibuat terhadap data-data yang tidak relevan terhadap carian yang dibuat.

Paparan keputusan cariannya turut dikatakan berbeza berbanding enjin carian lain. Cuil melakukan eksperimen dengan antara muka yang unik. Hasil carian dipaparkan dalam tiga kolum dan turut mengandungi imej dan lebih teks ringkasan berbanding enjin carian sedia ada. Selain menambah penghalusan carian melalui kategori, Cuil turut memberikan cadangan laman yang berkaitan melalui pautan di atas setiap hasil carian.

Apa pun, hanya masa yang akan menentukan survival Cuil dalam mengharungi ranjau bagi bersaing, bukan hanya dengan Google selaku laman carian nombor satu dunia, tetapi juga untuk bersaing dengan laman carian sedia ada yang lain. Kunci kejayaannya bakal ditentukan oleh keupayaannya untuk memenuhi kehendak pengguna Internet dalam membuat carian mereka dengan tepat dan cepat.

No comments:

Followers

My Blog List