Sunday, October 19, 2008

Lain Yang Sakit, Lain Yang Diubati

Kalau kita melihat dua orang atau dua pihak bertengkar dengan masing-masing menghamburkan kata-kata kesat. Sebenarnya kita sedang melihat mereka meluahkan mazmumah masing-masing melalui mulut mereka. Kalau kita melihat dua orang atau dua pihak bergaduh dengan menggunakan tangan dan kaki. Sebenarnya mereka sedang menzahirkan mazmumah mereka melalui tangan dan kaki. Kalau kita melihat dua pihak berperang menggunakan berbagai senjata. Sebenarnya mereka sedang mempamerkan mazmumah masing-masing melalui senjata yang mereka gunakan.



Kita perlu faham bahawa hati ibarat raja yang memerintah seluruh fizikal manusia. Baik atau buruk manusia ditentukan atau diputuskan oleh hati. Fizikal mengikut sahaja. Apabila hati dikuasai oleh iman dan taqwa maka yang akan terzahir pada manusia itu adalah akhlak dan perbuatan yang baik. Sebaliknya apabila nafsu dan syaitan yang menguasi atau mempengaruhi hati, maka manusia itu akan berakhlak, berperangai dan bertabiat buruk dan jahat. Hatinya menjadi sarang mazmumah, subur dengan sifat-sifat keji, rohnya kotor dan gelap. Tidak hairanlah kejahatan manusia sukar dibanteras kerana nafsu dan syaitan tidak takut kepada sebarag akta, undang-undang dan hukuman. Hukuman penjara dan sebat itu dianggap ringan, bahkan hukuman mati pun nafsu dan syaitan tidak takut.



Penyelesaian kepada masalah kejahatan manusia ialah dengan membakar hangus segala sifat-sifat mazmumah angkara nafsu dan syaitan itu. Kalau sekadar penguatkuasaan undang-undang, ianya tidak akan berkesan secara menyeluruh, sebabnya kalang yang berkuasa terhadap undang-undang itu adalah jenis manusia yang sama ada nafsu dan syaitan. Kadang-kadang mereka juga jahat tetapi disudut atau diaspek yang lain. Seolah-olah orang jahat hendak mendidik orang jahat. Untuk membakar musnahkan sifat mazmumah, hati manusia hendaklah dididik dengan takutkan Tuhan. Sebab itu Rasulullah saw mengambil masa 13 tahun untuk kenalkan Tuhan, sehingga para sahabat itu benar-benar kenal dan takutkan Tuhan. Nafsu dan syaitan hanya takutkan Tuhan. Dalam mendidik manusia untuk kenal, takut dan cintakan Tuhan, amat perlu dibuat oleh orang yang memiliki rasa bertuhan, barulah mendatangkan kesan, yakni hati manusia akan menjadi mudah merasai bertuhan sekaligus mazmumah akan musnah sama sekali. Tugas mendidik manusia untuk kenal Tuhan dan merasai bertuhan bukan boleh dibuat sambil lewa atau bila-bila ada masa terluang atau sebagai aktiviti persatuan. Ianya mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab kepada Tuhan dan sepenuh komitmen. Mesti dilakukan tanpa bermusim, berterusan dan tanpa berhenti kecuali kematian. Inilah tugas dan peranan paling utama bagi pemimpin, ulama, pendidik, guru-guru dan ibu bapa. Hasilnya manusia akan segera mendapat Tuhan.


--SayangiKeluarga.com

No comments:

Followers

My Blog List