Thursday, November 27, 2008

Ombak Besar Musim Tengkujuh Jadi Mimpi Ngeri

Saban tahun apabila tibanya musim tengkujuh, penduduk di tiga buah kampung di Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di sini akan diselubungi perasaan takut dan bimbang yang amat sangat.

Apa kan tidaknya, ancaman ombak besar Laut China Selatan yang kadangkala mencecah sehingga tiga meter itu menjadi mimpi ngeri dan semakin mengancam nyawa serta harta benda penduduk di Kampung Pulau Pisang, Kampung Pulau Panjang dan Kampung Pulau Pak Amat.

Musim tengkujuh tahun lepas sahaja, tiga buah rumah penduduk yang terletak di Kampung Pulau Pak Amat yang menjadi tempat pendaratan pertama tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua, musnah dihanyutkan ke laut kerana banjir air pasang.

Sejak beberapa hari lepas, sudah ada penduduk yang mengemas barang sebagai persediaan berpindah akibat ancaman ombak besar yang membadai sehingga ke bumbung rumah, malah ada antara mereka berpindah ke rumah saudara mara di kawasan lain.

TIDAK LENA TIDUR WAKTU MALAM

Penduduk asal Kampung Pulau Pak Amat, Wiah Ab Rahman, 67, berkata, air pasang dan ombak besar yang hadir setiap kali musim tengkujuh amat merungsingkan. Ini kerana gigi pantai semakin hari semakin menghampiri rumah kayunya yang bercat kuning.

Dulu, kata Wiah yang membahasakan dirinya 'Mak Ngah', pantai masih jauh dari rumahnya dengan jarak melebihi satu kilometer namun sekarang sudah tidak sampai 100 meter.

"Malam-malam, Mak Ngah takut nak tidur di rumah. Tak boleh pejam mata. Mak Ngah pergi tidur di rumah anak, Che Natrah Mamat. Rumahnya dua tingkat, tak jauh dari rumah Mak Ngah ni. Kalau air naik, kami semua duduk di tingkat atas," katanya kepada Bernama di sini.

Wiah, yang tinggal bersendirian di rumah itu sejak kematian suaminya lapan tahun lepas berkata, beliau amat takut sekiranya rumah kayu melebihi usianya itu dihanyutkan air laut ketika dia sedang tidur.

"Bila air pasang, naik sampai ke dinding, kadang-kadang masuk ke dalam rumah. Lantai rumah Mak Ngah juga dah reput terendam dalam air masin. Berjalan pun kena hati-hati. Tunggu masa dah nak runtuh agaknya," katanya.

Menurut Wiah, penduduk kampung sudah beberapa kali menemui wakil rakyat namun sehingga kini tiada apa yang dilakukan untuk mengatasi masalah yang menghantui mereka.

Setiap kali pilihan raya juga, masing-masing berjanji untuk membantu, ada yang berjanji untuk memindahkan mereka, ada yang janji nak bina benteng, tapi selesai pilihan raya, tidak ada apa-apa yang mampu mengubah nasib penduduk, katanya lagi.

TUTUP PINTU REZEKI

Bagi seorang pengusaha calet di kawasan itu, Nik Khairuddin Nik Aziz, 33, terpaksa menghentikan seketika operasi 14 unit caletnya yang kini semakin dihampiri air laut.

Beliau berkata, operasi calet "Tiram Beach Resort" yang bermula sejak tahun 2002 itu mungkin terpaksa dihentikan buat selama-lamanya atas faktor keselamatan.

"Tak tahulah macam mana keadaannya. Dulu pantai jauh dari calet ni. Sekarang dah semakin hampir, saya tak berani nak ambil risiko keselamatan kanak-kanak kerana pagar yang membatasi kawasan calet dan pantai pun sudah tak ada, tenggelam dalam laut," katanya.

Menurut beliau, kerugian perniagaan yang dijalankan bersama bapanya, Nik Aziz Yunus, 58, dianggarkan mencecah RM300,000. Malang bagi mereka kerana tidak tahu ke mana masalah itu hendak diadukan.

Sebelum ini, penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri memohon benteng dibina bagi meminimumkan kesan hakisan di pantai itu.

"Tapi sampai ke hari ini tak nampak benteng atau apa yang sedang dilakukan pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.

"Negara kita pernah bersedih kerana kita kehilangan Pulau Batu Putih. tapi sekarang ini, sedarkah kita sedang kehilangan beratus-ratus ekar tanah disebabkan hakisan, saya harap pihak berwajib dapat lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini," kata Nik Khairuddin.

Selain itu, ombak besar juga menyebabkan berlaku longgokan pasir di muara sungai yang mengakibatkan hampir 100 bot nelayan tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.

KOS TINGGI UNTUK BINA BENTENG

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Kelantan, Mejar (B) Anizam Abdul Rahman ketika diajukan persoalan itu berkata, kerajaan negeri sedang melakukan apa yang terdaya untuk membantu penduduk terlibat.

Menurut beliau, pembinaan benteng di kawasan terlibat dengan hakisan telahpun dilaksanakan oleh JPS Kelantan.

Bagaimanapun, pembinaan benteng tidak dapat dilaksanakan sekaligus di sepanjang kira-kira 70 kilometer pesisir pantai negeri Kelantan kerana ia melibatkan peruntukkan kos yang tinggi.

"Masalah hakisan di situ bukan perkara baru, di Kuala Pak Amat tu dah lama, lebih satu kilometer tanah dah masuk ke dalam laut. Hakisan ni juga berlaku di seluruh negara, bukan Kelantan sahaja.

"Nak buat semua tu perlukan peruntukan yang banyak. Tetapi setiap tahun kita ada peruntukan untuk itu, (jadi) kita buat setakat yang kita mampu buat," kata Mejar (B) Anizam.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sedang mencari tempat yang sesuai untuk memindahkan penduduk terlibat dengan ancaman ombak besar di situ.

-Oleh Syarifah Hunaini Syed Ismail

No comments:

Followers

My Blog List