Saturday, November 8, 2008

Perlukah Muslim sokong Obama?

Pemilihan calon presiden parti-parti utama Amerika Syarikat, Republikan dan Demokratik tahun ini menarik minat yang luar biasa daripada seluruh dunia, tidak terkecuali dunia Islam.

Minat luar biasa ini tertumpu pada tokoh muda Demokrat, Barack Hussein Obama, yang diletakkan harapan besar oleh banyak pihak termasuk minoriti Muslim di AS dan sejumlah besar Muslim di seluruh dunia.

Minat dan harapan kepada Obama ini meletakkan senator dari Illinois ini di satu kedudukan yang istimewa. Obama disamakan dengan John F Kennedy, dari sudut idealisme dan harapan baru kepada AS.

Bagaimanapun, berbeza dengan Kennedy, Obama mendapat perhatian khusus dunia Islam. Muslim di AS dan seluruh dunia meletakkan harapan pada Obama untuk membawa perubahan yang jauh lebih baik, lebih-lebih lagi selepas bencana pentadbiran Presiden George W Bush.

Hal ini wajar dilihat dengan lebih kritikal, walaupun disebabkan pesaingnya John McCain dilihat sebagai tidak berbeza dengan Bush dan dijangka akan meneruskan dasar Bush.

Dunia Muslim sebelum ini pernah mengambil sikap yang sama; memberi sokongan dan meletakkan harapan besar pada bakal presiden AS. Pada tahun 2000, menyokong Bush, calon Republikan, merupakan satu sikap yang popular bagi Muslim AS dan seluruh dunia.

Pertubuhan-pertubuhan Muslim di AS pada masa itu mengambil sikap yang tidak kritikal terhadap Bush. Sikap Bush sebelum itu, iaitu menunjukkan sikap mesra dengan Muslim AS, dilihat sebagai mewakili sikap sebenar Bush dan petunjuk dasar luarnya apabila menjadi presiden kelak.

Apa yang lebih mendedahkan sikap tidak kritikal sebahagian Muslim AS pada masa itu ialah sokongan kepada Bush sebahagian besarnya disebabkan calon naib presiden Parti Demokratik, Joseph Lieberman, ialah seorang Yahudi.

Akibat rasa kurang senang dengan calon Yahudi, Muslim AS memberi sokongan penuh kepada Bush dan calon naib presiden yang kini terbukti bermasalah, Dick Cheney.

Akhirnya, hanya selepas satu penggal Bush menduduki White House, Muslim AS yang memberi sokongan kepada Bush-Cheney pada tahun 2000 kecewa dan menarik balik sokongan.

Sepatutnya, apa yang berlaku itu dijadikan satu pengajaran bagi Muslim AS dan dijadikan sebab untuk lebih memahami politik AS dan bergiat dalam sistem politiknya- antaranya sebagai kumpulan pelobi - dan bukan hanya memberi sokongan kepada calon presiden kerana terbukti presiden bukan penentu semua dasar pentadbiran.

Sokongan kepada Obama oleh Muslim di luar AS sebahagiannya disandarkan pada sentimen dan persepsi tentang dasar luar yang akan dibawa oleh pentadbirannya nanti jika beliau memenangi jawatan presiden.

Sentimen minoriti juga menjadi satu punca sokongan Muslim AS kepada Obama. Beliau dilihat sebagai underdog, mewakili kumpulan yang sama dalam usaha memenangi jawatan yang selama ini dikuasai kaum majoriti kulit putih.

Obama sepanjang tempoh kempennya sangat berhati-hati dengan persepsi tentang agamanya, terutama terhadap dakwaan bahawa beliau sebenarnya seorang Muslim.

Obama juga sehingga kini sangat berhati-hati dalam menerima sokongan warga Muslim AS. Beliau mungkin tidak mahu dikaitkan sebagai tokoh yang mewakili suara Muslim AS, terutama ketika masih terdapat warga AS yang percaya yang beliau sebenarnya seorang Muslim.

Dalam satu perkembangan yang memberi gambaran sikap sangat berhati-hati ini, dua orang wanita Muslim bertudung dihalang daripada duduk di belakang Obama dalam dua rali berasingan.

Arahan itu dikatakan bukan datang dari Obama, tetapi hal itu menunjukkan persepsi negatif terhadap Muslim tetap wujud, dan wujud di kalangan mereka yang mengendalikan kempen Obama.

Kedudukan di belakang posisi Obama ketika berucap penting bagi membina persepsi tentang sokongan meluas diperolehi. Mereka yang berada di bahagian itu akan dilihat pada gambar atau rakaman televisyen yang diambil ketika Obama berucap. Lebih pelbagai mereka yang duduk dibelakangnya, lebih beliau akan dilihat sebagai mewakili semua lapisan rakyat AS.

Malangnya, wujud persepsi yang kehadiran wanita Muslim bertudung akan menjejaskan imej Obama. Apapun sebab wanita terbabit dihalang daripada mengambil tempat itu, hal ini pasti mempunyai kaitan dengan persepsi berkaitan Islam yang cuba ditepis Obama.

Ini bagaimanapun tidak bermakna sokongan dan harapan patut diberikan pada McCain. Pilihan untuk AS yang lebih baik bukan hanya terletak pada presiden, atau dua parti utama, Republikan dan Demokratik.

Hal ini sepatutnya mendorong Muslim AS bergiat dalam politik dengan lebih aktif, dalam masyarakat sivil, kumpulan pelobi dan sebagai pengundi di semua peringkat.

Pergantungan pada kuasa presiden semata-mata ialah satu pemahaman yang sangat menyeleweng.

--Haris Zalkapli

No comments:

Followers

My Blog List