Wednesday, December 31, 2008

Projek Jadikan Pulau Pinang Negeri Bebas Asap Rokok

Clearinghouse for Tobacco Control (C-Tob), di Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalankan satu projek perintis bagi memantau kualiti udara di kawasan tumpuan orang awam di negeri ini.

Ketua C-Tob Prof Rahmat Awang hari ini berkata projek perintis itu adalah selaras dengan cadangan C-Tob untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bebas dari asap rokok memandangkan Georgetown telah diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan (UNESCO).

Cadangan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada Oktober, dan C-Tob kini masih menunggu jawapan itu, katanya.

Katanya cadangan itu juga selaras dengan komitmen kerajaan Malaysia sebagai signatori pada Konvensyen Rangka Kerja untuk Kawalan Tembakau (FCTC) yang antara lain mengkehendaki supaya lima perkara dalam rangka kerja itu dipatuhi termasuk melaksanakan 100 peratus alam sekitar yang bebas dari asap rokok bagi melindungi penduduk negara daripada terdedah kepada bahaya kepulan asap rokok.

Rahmat berkata projek itu akan dijalankan dengan menggunakan alat khas yang dikenali sebagai "Personal Aerosol Monitor (PAM)".

Beliau berkata alat "real-time laser photometer" itu dilengkapi pam penguji bagi menyukat partikel kepekatan bawaan udara.

Rahmat berkata dengan memantau kualiti udara di kawasan awam, ia boleh menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam terhadap kawasan persekitaran yang menjadi tempat tinggal mereka terutama berhubung ancaman kepulan asap rokok di tempat kerja dan kawasan awam.

Dalam usaha untuk menimbulkan kesedaran mengenai bahaya kepulan asap rokok, C-Tob akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi menimbulkan kesedaran tentang bahaya itu di semua tempat kerja dan kawan awam.

"Kita perlu memastikan tiada bilik yang dikhaskan untuk merokok dan kawasan yang dibenarkan bagi perokok kerana ini akan mencemarkan udara di sekeliling juga," katanya yang kesal dengan tindakan pihak tertentu yang tidak mengambil langkah tegas bagi menyekat tabiat merokok di tempat kerja dan kawasan awam.

"Asap rokok merupakan koktel yang mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia dengan 69 daripadanya menjadi penyebab kanser sementara kepulan asapnya mengandungi gas toksik dan partikel halus yang boleh merosakkan jantung dan paru-paru," katanya.

Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berlaku satu kematian disebabkan penyakit yang berkaitan dengan merokok dan satu kematian bagi sebab yang sama setiap saat di seluruh dunia.

C-Tob yang ditubuhkan pada 1 Okt 2001 di bawah Pusat Racun Negara, USM dengan geran permulaan RM1.5juta dari Yayasan Rockefeller, Amerika Syarikat diberikan tugas untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat berhubung kawalan tembakau kepada mereka yang berminat terutama di negara-negara di Asia tenggara.

Ia boleh dianggap sebagai clearing house yang pertama di rantau ini merupakan pangkalan sehenti bagi mengumpul dan menyebarkan data mengenai maklumat berkaitan tembakau.

-- BERNAMA

Tuesday, December 30, 2008

Rebat RM100 Bil Air Bagi Keluarga Miskin

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) mula mengkreditkan bantuan kewangan RM100 kepada keluarga miskin di Pulau Pinang sebagai rebat bil air.

Pengurus Hal Ehwal Korporat K. Jeyabalan berkata RM100 itu dikreditkan dalam empat bayaran sebanyak RM25 bagi setiap bil bermula 15 Nov.

"Sebanyak 143,197 pengguna layak menerima RM3.58 juta dalam bayaran ansuran pertama," katanya dalam kenyataan Selasa.

Beliau berkata 14,000 permohonan lain masih dinilai yang akan siap pada akhir bulan depan.

Katanya semua pengguna yang tinggal di rumah kos rendah dan kos sederhana rendah serta keluarga yang menerima bantuan kebajikan dan kumpulan di bawah kategori miskin tegar akan secara automatik menerima bantuan kewangan ini.

"Keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan layak menerima bantuan kewangan ini dan hendaklah memohon melalui borang yang diedarkan oleh pembaca meter PBAPP," tambahnya.

Untuk keterangan lanjut hubungi PBAPP 04-5096509 atau layari pusat khidmat pengguna atau layari laman webnya di www.pba.com.my.

-- BERNAMA

Saturday, December 27, 2008

Wanita Laman Blog Hina Nabi Jumpa Shabery

Wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad S.A.W, mendakwa laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.

"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad S.A.W," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman di sini, Sabtu.

"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhati-hati dan membuat laporan polis," katanya.

Ahmad Shabery berkata wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.

"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.

Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakan-adakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.

Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.

Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.

dicuri dr BERNAMA

Saman RM300 Bagi Tempoh Enam Bulan Pertama

SHAH ALAM, 27 Dis (Bernama) -- Saman maksimum RM300 akan hanya dikenakan terhadap pemandu atau penumpang kereta yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang bagi tempoh enam bulan pertama mulai 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata selepas tamat tempoh berkenaan, tindakan mahkamah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan terbabit.

"Penalti bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali iaitu bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan terbabit," katanya pada sidang akhbar di Plaza Tol Batu Tiga dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang dikenakan bagi semua jenis kenderaan mulai tarikh itu kecuali beberapa kenderaan yang mempunyai ciri-ciri tertentu.

Antara kenderaan yang dikecualikan itu ialah kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995; kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam; kenderaan perdagangan termasuk teksi dan kereta sewa; kenderaan yang mempunyai lebih daripada sembilan tempat duduk belakang (termasuk tempat duduk pemandu) dan kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan (BDM) melebihi 3.5 tan.

Solah menjelaskan peraturan ini dimuktamadkan selepas mengambil kira tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memakai tali pinggang keledar tempat duduk hadapan yang dikuatkuasakan pada April 1979.

"Dengan mengambil kira kesedaran tersebutlah maka pihak kami dalam fasa kedua bersetuju terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang ini" kata beliau.

Katanya tindakan mengenakan saman terhadap pemandu yang gagal memastikan penumpang di bawah umur 17 tahun memakai tali pinggang keledar belakang, merupakan satu langkah memberikan kesedaran awal terhadap peraturan itu.

"Soalnya bukan terhadap tindakan yang bakal dikenakan terhadap pemandu terbabit tetapi lebih menjurus kepada tanggungjawab ibu bapa dalam menjaga keselamatan anak mereka yang di bawah umur 17 tahun itu," jelasnya.

-- BERNAMA

Wednesday, December 24, 2008

Hadis

Disebutkan dalam Hadits berikut :
'Umar bin Khattab berkata tentang suami yang lemah syahwat: " Dia diberi
tempo satu tahun. Jika dapat sembuh, (perkawinannya bisa diteruskan); dan
jika tidak, mereka boleh diceraikan dan istrinya mendapatkan mahar dan
harus ber'iddah." (H.R. Baihaqi)

Penjelasan :

Lemah syahwat ialah ketidakmampuan seorang laki-laki untuk memenuhi
kebutuhan biologis istri. Memenuhi kebutuhan biologis hanyalah dibenarkan
melalui perkawinan.

Maksud hadits di atas ialah istri yang memiliki suami yang mengidap lemah
syahwat berhak mengajukan perceraian jika penyakit suaminya tidak bisa
disembuhkan.

Seorang suami berkewajiban memenuhi kebutuhan biologis istrinya, karenanya
dia harus kuat syahwat. Tanpa memiliki kekuatan syahwat, tuntutan biologis
istri tidak akan dapat terpenuhi. Hal ini menjadi perhatian dalam syariat
Islam karena dalam perkawinan ada keharusan untuk saling memenuhi tuntutan
biologis merupakan salah satu faktor terciptanya suasana bahagia suami
istri.

Seorang perempuan muslim perlu memperhatikan sisi kemampuan syahwat calon
suaminya supaya kelak dalam menempuh kehidupan rumah tangga tidak terjadi
perselisihan dan pertengkaran. Bilamana suaminya lemah syahwat, hal ini
tentu akan merugikan dirinya.

Bagi seorang suami, karena adanya kesempatan untuk berpoligami, terjadinya
kelemahan syahwat pada istrinya dapat dikompensasi dengan mengambil
perempuan lain sebagai istri barunya. Akan tetapi, bagi seorang perempuan
muslim, hal semacam ini tidak bisa dilakukan. Pilihan yang bisa diambil
ialah menerima keadaan suami atau bercerai. Untuk itulah, perlu sekali
adanya pemilihan selektif terhadap laki-laki yang hendak menjadi suaminya.

Untuk mencegah terjadinya hal-hal yang tidak diinginkan dalam perkawinan,
sebelum seorang perempuan muslim mengikat diri dengan seorang laki-laki
muslim sebagai suami istri, ia perlu meneliti kemampuan syhwat calon
suaminya. Agar dapat mengetahui seberapa jauh kesehatan dan kemampuan
syahwat yang bersangkutan, dapat diadakan penyelidikan dengan cara-cara
antara lain:

1. Menanyakan kepada yang bersangkutan tentang keadaan dirinya. Sudah
tentu yang bersangkutan harus memberi jawaban dengan jujur atau mengambil
sumpah dengan nama Allah. Jika ternyata ia berdusta, ia harus berani
menanggung resiko atas kebohongannya kelak. Cara ini memang ini kurang
efektif, namun sebagai muslim cara ini menumbuhkan tanggung jawab akhirat
jauh lebih berat bagi yang bersangkutan. Jika dia berbohong, dosanya
tidak hanya kepada perempuan yang menjadi istrinya, tetapi juga kepada
Allah. Allah kelak akan menjatuhkan hukumannya di akhirat.

2. Meminta yang bersangkutan untuk melakukan tes kesehatan seksual, apakah
ia termasuk orang yang lemah syahwat atau normal.

Karena dalam perkawinan kebutuhan seksual atau biologis merupakan hal
mutlak, baik bagi suami maupun istri, para perempuan muslim tidak boleh
merasa malu untuk menyelidiki dan mengetahui keadaan syahwat calon
suaminya. Kalau hal ini tidak diketahui secara dini, kemungkinan kelak
akan terjadi masalah pada diri yang bersangkutan, sehingga boleh jadi ia
akan merasa tertipu dan mengalami trauma untuk bersuami. Supaya tidak
terjadi akibat buruk semacam ini, perlulah para perempuan muslim sejak
awal mengetahui kondisi seksual calon suaminya. Jika ternyata ia orang
yang lemah syahwat, lebih baik ia menolak lamarannya suapaya tidak
merugikan dirinya.

Para perempuan muslim harus menyadari bahwa kebutuhan biologis bukan
semata-mata untuk dirinya, melainkan juga untuk mendapatkan keturunan,
sebab perkawinan disyari'atkan oleh Islam terutama bertujuan untuk menjadi
sarana pengembangbiakan jenis manusia secara halal di muka bumi. Hal ini
hanya bisa dilakukan bilamana suami dapat melakukan fungsi biologisnya
kepada istrinya dengan baik. Oleh karena itu, pilihlah suami yang tidak
lemah syahwat.***

Berdasarakan hadith diatas, maka kita manusia hendaklah berusaha agar rumah tangga kita bahagia dan kita dapat hidup sempurna sebagai seorang lelaki sejati.

-kuatlelaki.xaper

Sunday, December 21, 2008

Kelantan rampas kembali Piala Emas Raja-Raja

Kelantan berjaya merampas kembali Piala Emas Raja-Raja yang terlepas ke tangan Johor tahun lepas, selepas berjaya menundukkan Pulau Pinang 4 - 0 dalam perlawanan akhir malam tadi.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV turut mendapat sokongan padu lebih 25,000 penonton yang memenuhi ruang stadium.

Kejayaan itu melayakkan pasukan Kelantan mendapat wang sebanyak RM30,000 dan piala pusingan disampaikan ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan dan anggota Exco, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Kelantan pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan 2006 sebelum tewas kepada Johor tahun lepas.

Pemain Kelantan yang juga penyerang Liga Malaysia, Khairul Zal Azmi Zahinuddin membuka jaringan pada minit ke-36. Lima minit selepas itu, pemain tengah, Mohd Badhri Mohd Radzi melebarkan lagi jurang.

Pada babak kedua Kelantan terus memulakan serangan bertali arus ke gol Pulau Pinang sebelum menambah dua lagi gol.Image

Sementara itu, Takiyuddin berkata, kejayaan pasukan Kelantan malam tadi hasil kerjasama dan persefahaman antara pemain serta pengurusan bola sepak skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan.

"Skuad yang sama berpeluang beraksi dalam Piala Liga Malaysia tahun hadapan dengan sokongan diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melalui geran kepada skuad ini.

"Saya juga bersyukur kerana kejohanan Piala Emas Raja-Raja kali ini nampak meriah kerana dari awal lagi margin kemenangan pasukan Kelantan agak besar," ujar beliau selepas majlis penyampaian hadiah perlawanan tersebut.

Menurutnya juga FAM membenarkan pemain Liga Malaysia turut beraksi dalam kejohanan kali ini.

Kata beliau kejohanan tersebut dianggap sebagai medan untuk mencukil bakat-bakat baru yang akan diserap ke pasukan negeri.

"Alhamdullilah pada malam ini ada pemerhati dari pasukan Liga Malaysia datang untuk melihat penglibatan pemain yang beraksi dan ini memberi ruang lebih besar kepada mereka," katanya. - mj _

Sunday, December 14, 2008

Islamofobia selepas 11 September

ISLAMOFOBIA adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah daripada nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.

Pelbagai pendapat mengatakan peningkatan kecenderungan ke arah Islamofobia sebahagiannya diakibatkan oleh serangan 11 September, sementara mereka yang lain pula mengaitkannya dengan kehadiran orang Islam yang meningkat di negara Barat.

Pada Mei 2002, European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC), satu pertubuhan pemantau Kesatuan Eropah, mengeluarkan laporan bertajuk "Summary report on Islamophobia in the EU after 11 September 2001" (Ringkasan laporan mengenai Islamofobia di Kesatuan Eropah selepas 11 September 2001), yang menggambarkan peningkatan insiden berkaitan Islamofobia di negara Eropah selepas 11 September.

Satu forum pada tahun 2001, "Stockholm International Forum on Combating Intolerance", mengisytiharkan satu deklarasi yang antara lainnya meletakkan Islamofobia sebagai sesuatu yang melanggar nilai-nilai asas manusia: rasisme, diskriminasi kaum, antisematisme, islamofobia, xenofobia, diskriminasi, keganasan dan pembunuhan kerana orientasi seks, dan apa jua bentuk sikap tidak toleransi, melanggar nilai-nilai asas manusia dan mengancam kebebasan masyarakat.

Fitna karya filem menghina Islam

Fitna adalah filem karya ahli politik Belanda, Geert Wilders, seorang pemimpin Party for Freedom (PPV) di Parlimen Belanda. Filem yang memaparkan pandangan Wilders mengenai Islam dan Quran ini dikutuk oleh masyarakat Islam antarabangsa termasuk Perdana Menteri Belanda sendiri, Jan Peter, kerana bersifat anti-Islam.

Wilders pertama kali menayangkan filemnya pada 27 Mac, 7 malam waktu Belanda, di laman video Liveleak. Semenjak itu pekerja Liveleak menerima ancaman dan mengambil keputusan untuk membuang video tersebut. Versi Belanda bagaimanapun sudah dilihat 1.6 juta kali dalam masa 2 jam sementara versi Inggeris lebih 1.2 juta dalam 5 jam.

Wilders pada mulanya mahu menayangkan filem tersebut di televisyen tetapi tiada satu pun syarikat Belanda yang mahu menayangkannya tanpa disunting. Wilders kemudiannya berkata dia lebih rela menayangkan kesemua filemnya (tanpa disunting) di Internet dari di TV dengan suntingan. Walaupun ada pihak yang akhirnya bersetuju untuk menayangkan filem tersebut dengan beberapa syarat seperti bayaran yang lebih untuk keselamatan, Wilders menolak tawaran mereka.

Beberapa negara termasuk Malaysia mengharamkan pengedaran dan penayangan Fitna kerana ia menyinggung perasaan umat Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, dalam satu kenyataannya, memutuskan Fitna sebagai satu sendaan terhadap Islam dan menyeru supaya memboikot barangan Belanda.

Pengerusinya, Prof Dato� Dr Abdul Shukor Husin, berkata tindakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam akan merenggangkan lagi hubungan antara Islam dan dunia Barat.

Filem tersebut juga mendapat kutukan negara-negara lain di dunia termasuk Australia dan Kesatuan Eropah. Dalam pada masa menolak paparan Fitna mengenai Islam, Kesatuan Eropah bagaimanapun mempertahankan hak untuk bersuara dan meminta masyarakat Islam bertindak rasional.

Filem Fitna adalah beberapa siri insiden karya seni dari Eropah yang dilihat sebagai menghina Islam dan umat Islam. Kontroversi lain sebelum ini termasuk penyiaran karikatur yang dianggap menghina Nabi Muhammad s.a.w. oleh akhbar di Denmark selain daripada novel The Satanic Verses oleh Salman Rushdie pada tahun 1988.

Ramai pemerhati berpendapat, kelahiran filem ini adalah sebagai manifestani sikap prejudis dan Islamofobia kepada Islam dan umat Islam yang meningkat sejak kejadian serangan 11 September 2001.-Hrkh

Dipetik daripada , Harakah

Saturday, December 13, 2008

rezeki tengkujuh

KOTA BHARU: Sepanjang cuti sekolah, ramai remaja memanfaatkan masa lapang untuk menambah wang saku, termasuk mencari dan menjual siput sedut di sawah yang mampu mendatangkan pulangan hingga RM150 sehari.

Itulah usaha tiga pelajar, iaitu Engku Amiruddin Engku Yahya, 15, adiknya, Engku Yusrin, 12, serta rakan mereka, Nik Ahmad Shariman, 14, mencari siput di sekitar sawah di Kampung Kedai Mulong, di sini, sebelum menjualnya kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Kota Bharu-Pasir Mas setiap hari bermula 7 hingga 10 pagi.

Menurut Engku Amiruddin, siput sedut itu mendatangkan rezeki buat mereka kerana setiap hari mereka mampu menjual sehingga 50 kilogram.

Katanya, setiap sekilogram siput itu akan dijual pada harga RM4 dan setiap hari mereka mendapat purata keuntungan sehingga RM150.

“Hasil pendapatan menjual siput ini, bolehlah kami mendapat hasil RM50 setiap seorang apabila dibahagi tiga.

“Selain mendatangkan duit buat kami, sedikit sebanyak wang hasil jualan dapat meringankan tanggungan keluarga,” katanya ketika ditemui di tepi Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, semalam.

Adiknya, Engku Yusrin, pula berkata wang yang diperolehnya hasil mencari siput akan digunakan untuk membeli keperluan persekolahan apabila sekolah dibuka semula kelak.

Katanya, dia lebih gemar mencari siput untuk dijual daripada bermain tanpa tentu hala bagi menghabiskan cuti penggal persekolahan yang panjang.

“Keluarga menggalakkan saya mencari wang sendiri dan dapatlah saya memberi barangan yang saya kehendaki.

“Walaupun terpaksa bergelumang dengan selut, saya tidak kisah kerana akhirnya saya akan mendapat hasilnya,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Mulong, di sini.

Difahamkan, sempena musim tengkujuh dan cuti sekolah, ramai murid dan pelajar sekolah mencari siput dan ikan sepat di kawasan berlumpur dan berair untuk menambah wang saku mereka.
-Harian Metro

Wednesday, December 3, 2008

Kuala Terengganu Masih Teruk, Marang Hampir Pulih

Keadaan banjir di Kuala Terengganu pagi ini masih teruk sementara di Marang hampir pulih sepenuhnya.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata jumlah mangsa di kedua-dua daerah adalah seramai 1,715 orang, iaitu 1,685 di Kuala Terengganu dan 30 di Marang.

"Angka ini tidak banyak berbeza dengan angka sehingga petang semalam iaitu seramai 1,748 orang," katanya ketika dihubungi.

Sembilan pusat pemindahan masih dibuka di Kuala Terengganu dan tiga di Marang.

Jurucakap itu berkata keadaan banjir di Marang dijangka pulih sepenuhnya pada bila-bila masa memandangkan hujan telah berhenti dan cuaca bergitu baik sejak semalam.

Beliau berkata 13 batang jalan yang ditutup kerana ditenggelami air sedalam antara 0.5 meter hingga 1.5 meter dua hari lepas kini telah dibuka semula.

Paras air di semua sungai utama di Terengganu dilaporkan berada dalam keadaan normal, kecuali sungai Setiu di Kampung Bukit Tinggi yang pada 8 pagi mencatat paras bacaan 12.35 meter berbanding paras bahaya 12 meter.

Tuesday, December 2, 2008

Banjir Di Kelantan Ragut Lima Nyawa, 1,623 Orang Dipindahkan

Walaupun baru empat hari banjir melanda Kelantan, namun sudah lima nyawa menjadi korban di negeri itu dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan kini seramai 1,623 orang.

Mangsa kelima adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Maharaja Bukit Abal, Mohamad Azdi Fikri Zakaria, 15, yang hanyut dibawa arus deras ketika berenang bersama lima rakannya di Sungai Bukit Abal, Pasir Puteh petang semalam, ditemui kira-kira pukul 3.10 petang ini.

Keadaan Sungai Golok yang berada di atas paras bahaya sejak tiga hari menyebabkan banjir di Rantau Panjang, Tumpat tidak banyak berubah.

Terdahulu hari ini, mayat seorang penternak lembu, Osman Majid, 29, ditemui pada 11.30 pagi oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat setelah terjatuh di dalam sungai ketika memukat ikan di Peringat, di sini.

Di PASIR MAS, mayat pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Meranti, Salman Hakimi, 16 yang dihanyutkan arus deras ketika bermain air di rumahnya di Kampung Kubang Pak Itam, juga ditemui pukul 11.30 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan hilang 2.30 petang semalam.

Semalam, Nur Amalia Ayob lemas setelah tergelincir ke dalam tali air berhampiran rumahnya di Kampung Kayu Rendang, Melor, dekat sini dan mayatnya ditemui pada 1.30 petang oleh unit skuba Bomba dan Penyelamat Kota Baharu.

Mangsa korban pertama banjir, Nik Zulkifli Nik Kob, 26, dihanyutkan arus dan ditemui terapung di tebing Sungai Sokor, dekat Kuala Tiga, Tanah Merah Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di empat daerah di Kelantan pada pukul 5 petang ini meningkat kepada 1,623 orang berbanding 1,455 orang pagi tadi.

"Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi namun menurun sedikit kepada 1,047 orang berbanding yang dilaporkan pagi tadi seramai 1,082 orang, manakala Tumpat meningkat kepada (524 orang) diikuti Kuala Krai (28 orang) dan Kota Baharu (24 orang)," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, kesemua jalan utama dibuka kepada kenderaan kecuali Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Beliau berkata paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih tidak berubah dan melebihi paras bahaya iaitu pada 10.24 meter manakala tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada di bawah paras berjaga-jaga.

Di TERENGGANU, Keadaan banjir di daerah Besut dan Setiu bertambah baik petang ini sementara di daerah Kuala Terengganu dan Marang masih tidak berubah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir di empat daerah berkenaan sehingga pukul 6 petang ini adalah 2,912 berbanding 3,281 pagi tadi.

"Ramai mangsa banjir terutamanya di daerah Besut dan Setiu telah dibenarkan balik pada sebelah petang ini," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata jumlah mangsa yang masih ada di Besut petang ini ialah 150 berbanding 99 orang pagi tadi manakala di Setiu pula ialah 85 orang berbanding 108 pada pagi.

Empat dari sembilan pusat pemindahan di daerah Besut telah ditutup petang ini manakala di Setiu dua buah pusat pemindahan masih dibuka, katanya

Jurucakap itu berkata di Kuala Terengganu jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,694 orang berbanding 1,644 orang pada pagi dan Marang 983 orang berbanding 999 orang pada pagi tadi.

Sebuah daripada 10 pusat perpindahan di Marang iaitu Balairaya Kampung Bukit Baru sudah ditutup petang ini apabila semua mangsanya dibenarkan pulang.

Beliau berkata 31 pusat pemindahan masih dibuka di keempat-empat daerah berkenaan.

Jurucakap itu berkata 14 batang jalan utama ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam antara 0.2 hingga 1.5 meter.

Jalan terbabit ialah Jalan Bukit Payong-Wakaf Kedondong, Jalan Padang Midin-Jalan Paya Resak, Jalan Matang-Kampung Telemong, Jalan Bukit Perah-Kampung Jak-Kuala Kejir Telemong, Pengkalan Kubu-Kampung Tembila, Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Kuala Terengganu-Kota Bharu (Pakoh Jaya km 29), Segar Lekor-Pakoh Jaya (km 31),

Jalan Kampung Lingai, Jalan kampung Padang Air, Jambatan Tepoh, Jalan Kampung Jeram-Pulau Bahagia, Jalan Kampung Jeram-Pulau Bahagian (Kampung Bukit Petiti) dan Jalan Tepoh-Wakaf Mersira.

Beliau berkata sungai Dungun di Jambatan Jerangau, paras air melebihi paras bahaya iaitu 14.09 (bahaya 12.50) manakala sungai Marang di Pengkalan Berangan berada pada paras amaran 13.06 meter (amaran 13.70 meter).

Di PAHANG, kesemua 16 orang mangsa banjir lumpur di kawasan Lembah Bertam, dekat Ringlet, Cameron Highlands dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang ketika dihubungi berkata kesemua mangsa terbabit yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet dibenarkan pulang.

Menurutnya, sehingga 4.30 petang ini tiada laporan banjir diterima walaupun keadaan hujan lebat berlaku sejak lewat pagi tadi.

Katanya, tiada laporan kemalangan jiwa juga dilaporkan akibat banjir di negeri ini.

Monday, December 1, 2008

Wukuf Di Arafah Pada Ahad 7 Dis

Tarikh Wukuf di padang Arafah di tetapkan pada hari Ahad 7 Dis dan Aidiladha di tanah suci disambut pada Isnin 8 Dis.

Pengumuman tarikh Wukuf dan Aidiladha itu dibuat Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi.

Akhbar harian Arab memetik laporan yang disiarkan menerusi Saudi Press Agency (SPA), bahawa Majlis itu dalam kenyataan berkata Sabtu (29 Nov) ialah 1 Zulhijjah, dan tiada hari ke 30 dalam Zulkaedah "kerana majlis tidak menerima sebarang laporan anak bulan kelihatan".

Sementara itu, beratus ribu jemaah berkumpul di bandar suci ini, termasuk lebih 20,000 dari Malaysia yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tiada angka rasmi diumum sehingga kini mengenai jumlah keseluruhan jemaah musim ini tetapi dianggar kira-kira tiga juta jemaah akan berkumpul di padang Arafah yang luasnya 10.4 kilometer persegi, kira-kira 22 kilometer dari sini.

Ahmad Zahid yang melawat beberapa penempatan untuk jemaah Malaysia hari ini menasihatkan mereka supaya menjaga kesihatan agar mereka boleh mengerjakan wukuf dengan sempurna, yang merupakan kemuncak ibadat haji.

Pegawai Tabung Haji berkata agensi itu telah membuat persiapan untuk pergerakan secara berperingkat kira-kira 26,000 jemaah Malaysia ke padang Arafah Sabtu ini dengan bas yang diatur oleh agensi haji Arab Saudi, Muassasah.

-- BERNAMA

Harga Minyak Dijangka Turun Sebelum Hari Raya Haji

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pengurangan harga minyak akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji dan kali ini ia dijangka hanya melibatkan petrol sahaja.

Penurunan harga petrol itu, katanya tidak akan melebihi 15 sen.

"Kita sekarang berdepan dengan keadaan luar biasa di mana harga diesel di pasaran dunia adalah lebih tinggi daripada petrol dan sebab itu kerajaan masih memberi subsidi RM1.43 untuk harga diesel," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penutupan Seminar Pembangunan Perniagaan Bagi Peniaga dan Usahawan Kecil di sini hari ini.

Dengan penurunan itu harga minyak petrol RON97 dijangka turun daripada RM2 kepada RM1.85 seliter manakala RON92 daripada RM1.90 kepada RM1.75 seliter.

Pada 17 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Bagaimanapun, Shahrir berkata keputusan mengenai mekanisme penetapan harga minyak tidak sempat dibincangkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang diadakan di Putrajaya hari ini kerana perbincangan lebih tertumpu kepada aspek keselamatan negara.

"Kita mungkin akan membincangkannya pada mesyuarat Exco selepas Hari Raya Haji nanti," katanya.

Kerajaan sekarang sedang menimbang sama ada memilih mekanisme penetapan harga minyak berasaskan harga lantai atau pengapungan terurus.

Mengenai rungutan pengguna berkaitan kedegilan peniaga menurunkan harga barang-barang walaupun harga minyak turun, beliau berkata pada masa sekarang peniaga khasnya yang menjual barang yang dikilangkan tidak dapat berbuat demikian.

"Mereka tidak dapat menurunkan harga barang yang dikilangkan pada masa sekarang kerana harga barangan terbabit adalah berasaskan harga tempahan sebelum pengumuman penurunan harga minyak," katanya.

-- BERNAMA

Hujan Berterusan Di Kelantan Dan Terengganu

Hujan lebat di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan hingga malam ini dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai, menurut Jabatan Meteorologi.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang manakala di Terengganu ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

Sehingga pagi ini, keadaan banjir di Kelantan kembali buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,513 berbanding 853 orang semalam.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dilapor melebihi paras bahaya mananaka tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga.

Di Terengganu pula keadaan semakin pulih, terutama di Hulu Terengganu apabila semua pusat pemindahan banjir di daerah itu ditutup hari ini, dan hanya 292 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan di Besut, Marang dan Setiu.

Paras air sungai Marang di Pengkalan Berangan kini berada pada paras waspada iaitu 12.73 meter manakala sungai Setiu di Kampung Bukit mencatat 12.13 meter iaitu melepasi paras bahaya.

Jalan-jalan yang masih ditutup ialah Jalan Jerteh-Hulu Besut, Jalan Pangkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong, Jalan Matang-Telemong dan Jalan Permaisuri-Hulu Seladang kerana ditenggelami air sedalam antara 0.45 meter dan 1.5 meter.

Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang juga ditutup kepada semua kenderaan kerana Jambatan Temala rosak.

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir di Pahang sehingga pagi ini ialah 108 orang daripada 22 keluarga dari Temerloh dan Lembah Bertam, Cameron Highlands.

-- BERNAMA

Followers

My Blog List