Tuesday, December 2, 2008

Banjir Di Kelantan Ragut Lima Nyawa, 1,623 Orang Dipindahkan

Walaupun baru empat hari banjir melanda Kelantan, namun sudah lima nyawa menjadi korban di negeri itu dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan kini seramai 1,623 orang.

Mangsa kelima adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Maharaja Bukit Abal, Mohamad Azdi Fikri Zakaria, 15, yang hanyut dibawa arus deras ketika berenang bersama lima rakannya di Sungai Bukit Abal, Pasir Puteh petang semalam, ditemui kira-kira pukul 3.10 petang ini.

Keadaan Sungai Golok yang berada di atas paras bahaya sejak tiga hari menyebabkan banjir di Rantau Panjang, Tumpat tidak banyak berubah.

Terdahulu hari ini, mayat seorang penternak lembu, Osman Majid, 29, ditemui pada 11.30 pagi oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat setelah terjatuh di dalam sungai ketika memukat ikan di Peringat, di sini.

Di PASIR MAS, mayat pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Meranti, Salman Hakimi, 16 yang dihanyutkan arus deras ketika bermain air di rumahnya di Kampung Kubang Pak Itam, juga ditemui pukul 11.30 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan hilang 2.30 petang semalam.

Semalam, Nur Amalia Ayob lemas setelah tergelincir ke dalam tali air berhampiran rumahnya di Kampung Kayu Rendang, Melor, dekat sini dan mayatnya ditemui pada 1.30 petang oleh unit skuba Bomba dan Penyelamat Kota Baharu.

Mangsa korban pertama banjir, Nik Zulkifli Nik Kob, 26, dihanyutkan arus dan ditemui terapung di tebing Sungai Sokor, dekat Kuala Tiga, Tanah Merah Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di empat daerah di Kelantan pada pukul 5 petang ini meningkat kepada 1,623 orang berbanding 1,455 orang pagi tadi.

"Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa yang tertinggi namun menurun sedikit kepada 1,047 orang berbanding yang dilaporkan pagi tadi seramai 1,082 orang, manakala Tumpat meningkat kepada (524 orang) diikuti Kuala Krai (28 orang) dan Kota Baharu (24 orang)," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, kesemua jalan utama dibuka kepada kenderaan kecuali Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu yang masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Beliau berkata paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih tidak berubah dan melebihi paras bahaya iaitu pada 10.24 meter manakala tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada di bawah paras berjaga-jaga.

Di TERENGGANU, Keadaan banjir di daerah Besut dan Setiu bertambah baik petang ini sementara di daerah Kuala Terengganu dan Marang masih tidak berubah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negeri berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir di empat daerah berkenaan sehingga pukul 6 petang ini adalah 2,912 berbanding 3,281 pagi tadi.

"Ramai mangsa banjir terutamanya di daerah Besut dan Setiu telah dibenarkan balik pada sebelah petang ini," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata jumlah mangsa yang masih ada di Besut petang ini ialah 150 berbanding 99 orang pagi tadi manakala di Setiu pula ialah 85 orang berbanding 108 pada pagi.

Empat dari sembilan pusat pemindahan di daerah Besut telah ditutup petang ini manakala di Setiu dua buah pusat pemindahan masih dibuka, katanya

Jurucakap itu berkata di Kuala Terengganu jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,694 orang berbanding 1,644 orang pada pagi dan Marang 983 orang berbanding 999 orang pada pagi tadi.

Sebuah daripada 10 pusat perpindahan di Marang iaitu Balairaya Kampung Bukit Baru sudah ditutup petang ini apabila semua mangsanya dibenarkan pulang.

Beliau berkata 31 pusat pemindahan masih dibuka di keempat-empat daerah berkenaan.

Jurucakap itu berkata 14 batang jalan utama ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam antara 0.2 hingga 1.5 meter.

Jalan terbabit ialah Jalan Bukit Payong-Wakaf Kedondong, Jalan Padang Midin-Jalan Paya Resak, Jalan Matang-Kampung Telemong, Jalan Bukit Perah-Kampung Jak-Kuala Kejir Telemong, Pengkalan Kubu-Kampung Tembila, Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Kuala Terengganu-Kota Bharu (Pakoh Jaya km 29), Segar Lekor-Pakoh Jaya (km 31),

Jalan Kampung Lingai, Jalan kampung Padang Air, Jambatan Tepoh, Jalan Kampung Jeram-Pulau Bahagia, Jalan Kampung Jeram-Pulau Bahagian (Kampung Bukit Petiti) dan Jalan Tepoh-Wakaf Mersira.

Beliau berkata sungai Dungun di Jambatan Jerangau, paras air melebihi paras bahaya iaitu 14.09 (bahaya 12.50) manakala sungai Marang di Pengkalan Berangan berada pada paras amaran 13.06 meter (amaran 13.70 meter).

Di PAHANG, kesemua 16 orang mangsa banjir lumpur di kawasan Lembah Bertam, dekat Ringlet, Cameron Highlands dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang ketika dihubungi berkata kesemua mangsa terbabit yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet dibenarkan pulang.

Menurutnya, sehingga 4.30 petang ini tiada laporan banjir diterima walaupun keadaan hujan lebat berlaku sejak lewat pagi tadi.

Katanya, tiada laporan kemalangan jiwa juga dilaporkan akibat banjir di negeri ini.

No comments:

Followers

My Blog List