Monday, December 1, 2008

Hujan Berterusan Di Kelantan Dan Terengganu

Hujan lebat di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan hingga malam ini dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai, menurut Jabatan Meteorologi.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata kawasan yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang manakala di Terengganu ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun.

Sehingga pagi ini, keadaan banjir di Kelantan kembali buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,513 berbanding 853 orang semalam.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dilapor melebihi paras bahaya mananaka tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga.

Di Terengganu pula keadaan semakin pulih, terutama di Hulu Terengganu apabila semua pusat pemindahan banjir di daerah itu ditutup hari ini, dan hanya 292 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan di Besut, Marang dan Setiu.

Paras air sungai Marang di Pengkalan Berangan kini berada pada paras waspada iaitu 12.73 meter manakala sungai Setiu di Kampung Bukit mencatat 12.13 meter iaitu melepasi paras bahaya.

Jalan-jalan yang masih ditutup ialah Jalan Jerteh-Hulu Besut, Jalan Pangkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong, Jalan Matang-Telemong dan Jalan Permaisuri-Hulu Seladang kerana ditenggelami air sedalam antara 0.45 meter dan 1.5 meter.

Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang juga ditutup kepada semua kenderaan kerana Jambatan Temala rosak.

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir di Pahang sehingga pagi ini ialah 108 orang daripada 22 keluarga dari Temerloh dan Lembah Bertam, Cameron Highlands.

-- BERNAMA

No comments:

Followers

My Blog List