Sunday, December 21, 2008

Kelantan rampas kembali Piala Emas Raja-Raja

Kelantan berjaya merampas kembali Piala Emas Raja-Raja yang terlepas ke tangan Johor tahun lepas, selepas berjaya menundukkan Pulau Pinang 4 - 0 dalam perlawanan akhir malam tadi.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV turut mendapat sokongan padu lebih 25,000 penonton yang memenuhi ruang stadium.

Kejayaan itu melayakkan pasukan Kelantan mendapat wang sebanyak RM30,000 dan piala pusingan disampaikan ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan dan anggota Exco, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Kelantan pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan 2006 sebelum tewas kepada Johor tahun lepas.

Pemain Kelantan yang juga penyerang Liga Malaysia, Khairul Zal Azmi Zahinuddin membuka jaringan pada minit ke-36. Lima minit selepas itu, pemain tengah, Mohd Badhri Mohd Radzi melebarkan lagi jurang.

Pada babak kedua Kelantan terus memulakan serangan bertali arus ke gol Pulau Pinang sebelum menambah dua lagi gol.Image

Sementara itu, Takiyuddin berkata, kejayaan pasukan Kelantan malam tadi hasil kerjasama dan persefahaman antara pemain serta pengurusan bola sepak skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan.

"Skuad yang sama berpeluang beraksi dalam Piala Liga Malaysia tahun hadapan dengan sokongan diberikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melalui geran kepada skuad ini.

"Saya juga bersyukur kerana kejohanan Piala Emas Raja-Raja kali ini nampak meriah kerana dari awal lagi margin kemenangan pasukan Kelantan agak besar," ujar beliau selepas majlis penyampaian hadiah perlawanan tersebut.

Menurutnya juga FAM membenarkan pemain Liga Malaysia turut beraksi dalam kejohanan kali ini.

Kata beliau kejohanan tersebut dianggap sebagai medan untuk mencukil bakat-bakat baru yang akan diserap ke pasukan negeri.

"Alhamdullilah pada malam ini ada pemerhati dari pasukan Liga Malaysia datang untuk melihat penglibatan pemain yang beraksi dan ini memberi ruang lebih besar kepada mereka," katanya. - mj _

No comments:

Followers

My Blog List