Wednesday, December 31, 2008

Projek Jadikan Pulau Pinang Negeri Bebas Asap Rokok

Clearinghouse for Tobacco Control (C-Tob), di Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalankan satu projek perintis bagi memantau kualiti udara di kawasan tumpuan orang awam di negeri ini.

Ketua C-Tob Prof Rahmat Awang hari ini berkata projek perintis itu adalah selaras dengan cadangan C-Tob untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bebas dari asap rokok memandangkan Georgetown telah diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan (UNESCO).

Cadangan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada Oktober, dan C-Tob kini masih menunggu jawapan itu, katanya.

Katanya cadangan itu juga selaras dengan komitmen kerajaan Malaysia sebagai signatori pada Konvensyen Rangka Kerja untuk Kawalan Tembakau (FCTC) yang antara lain mengkehendaki supaya lima perkara dalam rangka kerja itu dipatuhi termasuk melaksanakan 100 peratus alam sekitar yang bebas dari asap rokok bagi melindungi penduduk negara daripada terdedah kepada bahaya kepulan asap rokok.

Rahmat berkata projek itu akan dijalankan dengan menggunakan alat khas yang dikenali sebagai "Personal Aerosol Monitor (PAM)".

Beliau berkata alat "real-time laser photometer" itu dilengkapi pam penguji bagi menyukat partikel kepekatan bawaan udara.

Rahmat berkata dengan memantau kualiti udara di kawasan awam, ia boleh menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam terhadap kawasan persekitaran yang menjadi tempat tinggal mereka terutama berhubung ancaman kepulan asap rokok di tempat kerja dan kawasan awam.

Dalam usaha untuk menimbulkan kesedaran mengenai bahaya kepulan asap rokok, C-Tob akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi menimbulkan kesedaran tentang bahaya itu di semua tempat kerja dan kawan awam.

"Kita perlu memastikan tiada bilik yang dikhaskan untuk merokok dan kawasan yang dibenarkan bagi perokok kerana ini akan mencemarkan udara di sekeliling juga," katanya yang kesal dengan tindakan pihak tertentu yang tidak mengambil langkah tegas bagi menyekat tabiat merokok di tempat kerja dan kawasan awam.

"Asap rokok merupakan koktel yang mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia dengan 69 daripadanya menjadi penyebab kanser sementara kepulan asapnya mengandungi gas toksik dan partikel halus yang boleh merosakkan jantung dan paru-paru," katanya.

Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berlaku satu kematian disebabkan penyakit yang berkaitan dengan merokok dan satu kematian bagi sebab yang sama setiap saat di seluruh dunia.

C-Tob yang ditubuhkan pada 1 Okt 2001 di bawah Pusat Racun Negara, USM dengan geran permulaan RM1.5juta dari Yayasan Rockefeller, Amerika Syarikat diberikan tugas untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat berhubung kawalan tembakau kepada mereka yang berminat terutama di negara-negara di Asia tenggara.

Ia boleh dianggap sebagai clearing house yang pertama di rantau ini merupakan pangkalan sehenti bagi mengumpul dan menyebarkan data mengenai maklumat berkaitan tembakau.

-- BERNAMA

No comments:

Followers

My Blog List