Saturday, December 13, 2008

rezeki tengkujuh

KOTA BHARU: Sepanjang cuti sekolah, ramai remaja memanfaatkan masa lapang untuk menambah wang saku, termasuk mencari dan menjual siput sedut di sawah yang mampu mendatangkan pulangan hingga RM150 sehari.

Itulah usaha tiga pelajar, iaitu Engku Amiruddin Engku Yahya, 15, adiknya, Engku Yusrin, 12, serta rakan mereka, Nik Ahmad Shariman, 14, mencari siput di sekitar sawah di Kampung Kedai Mulong, di sini, sebelum menjualnya kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Kota Bharu-Pasir Mas setiap hari bermula 7 hingga 10 pagi.

Menurut Engku Amiruddin, siput sedut itu mendatangkan rezeki buat mereka kerana setiap hari mereka mampu menjual sehingga 50 kilogram.

Katanya, setiap sekilogram siput itu akan dijual pada harga RM4 dan setiap hari mereka mendapat purata keuntungan sehingga RM150.

“Hasil pendapatan menjual siput ini, bolehlah kami mendapat hasil RM50 setiap seorang apabila dibahagi tiga.

“Selain mendatangkan duit buat kami, sedikit sebanyak wang hasil jualan dapat meringankan tanggungan keluarga,” katanya ketika ditemui di tepi Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, semalam.

Adiknya, Engku Yusrin, pula berkata wang yang diperolehnya hasil mencari siput akan digunakan untuk membeli keperluan persekolahan apabila sekolah dibuka semula kelak.

Katanya, dia lebih gemar mencari siput untuk dijual daripada bermain tanpa tentu hala bagi menghabiskan cuti penggal persekolahan yang panjang.

“Keluarga menggalakkan saya mencari wang sendiri dan dapatlah saya memberi barangan yang saya kehendaki.

“Walaupun terpaksa bergelumang dengan selut, saya tidak kisah kerana akhirnya saya akan mendapat hasilnya,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Mulong, di sini.

Difahamkan, sempena musim tengkujuh dan cuti sekolah, ramai murid dan pelajar sekolah mencari siput dan ikan sepat di kawasan berlumpur dan berair untuk menambah wang saku mereka.
-Harian Metro

No comments:

Followers

My Blog List