Saturday, December 27, 2008

Saman RM300 Bagi Tempoh Enam Bulan Pertama

SHAH ALAM, 27 Dis (Bernama) -- Saman maksimum RM300 akan hanya dikenakan terhadap pemandu atau penumpang kereta yang gagal mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang bagi tempoh enam bulan pertama mulai 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata selepas tamat tempoh berkenaan, tindakan mahkamah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan terbabit.

"Penalti bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali iaitu bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan terbabit," katanya pada sidang akhbar di Plaza Tol Batu Tiga dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang dikenakan bagi semua jenis kenderaan mulai tarikh itu kecuali beberapa kenderaan yang mempunyai ciri-ciri tertentu.

Antara kenderaan yang dikecualikan itu ialah kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995; kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam; kenderaan perdagangan termasuk teksi dan kereta sewa; kenderaan yang mempunyai lebih daripada sembilan tempat duduk belakang (termasuk tempat duduk pemandu) dan kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan (BDM) melebihi 3.5 tan.

Solah menjelaskan peraturan ini dimuktamadkan selepas mengambil kira tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memakai tali pinggang keledar tempat duduk hadapan yang dikuatkuasakan pada April 1979.

"Dengan mengambil kira kesedaran tersebutlah maka pihak kami dalam fasa kedua bersetuju terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang ini" kata beliau.

Katanya tindakan mengenakan saman terhadap pemandu yang gagal memastikan penumpang di bawah umur 17 tahun memakai tali pinggang keledar belakang, merupakan satu langkah memberikan kesedaran awal terhadap peraturan itu.

"Soalnya bukan terhadap tindakan yang bakal dikenakan terhadap pemandu terbabit tetapi lebih menjurus kepada tanggungjawab ibu bapa dalam menjaga keselamatan anak mereka yang di bawah umur 17 tahun itu," jelasnya.

-- BERNAMA

1 comment:

pokcu said...

saman je la, menteri banyak yg kena saman tak bayar pun, ada yg saman malu dan macam2 saman, huhu

Followers

My Blog List