Wednesday, January 21, 2009

Pasar Malam Wakaf Che Yeh

JIKA berkunjung ke Kota Bharu jangan lupa meluangkan masa meronda Pasar Malam Che Yeh.

Bukan saja dapat menjamu mata dengan pelbagai barangan cenderamata, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan Pantai Timur.


Ada yang berkata kunjungan ke Pasar Malam Che Yeh ibarat meneroka seluruh Kelantan memandangkan pelbagai produk yang dijual.

Pengunjung pastinya rambang mata untuk memilih barangan menerusi 400 gerai penjaja termasuk pakaian, aksesori perhiasan wanita, produk tekstil, barangan kulit, kraftangan, barangan dapur dan ubat tradisional.

Selain itu, turut dijual hasil pertanian penduduk tempatan seperti buah-buahan, sayuran dan hasil ternakan. Manakala, deretan lebih 20 gerai makanan menghidangkan makanan tradisional.

Lazimnya, pelancong dari luar Kelantan mencari tanda kenangan memiliki identiti Kelantan termasuk produk luar seperti batik.

Golongan suri rumah pula gemar memborong perkakasan dapur termasuk periuk, belanga dan acuan kuih.

Bersempadan dengan Thailand, tidak hairanlah ada peniaga dari negara jiran yang turut mencari rezeki di pasar ini.

Pengarah Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Azman Md Daham, berkata pasar malam itu kini menjadi destinasi mesti kunjung untuk mereka yang pertama kali ke Kelantan.

“Mulai Julai lalu, MPKB menaik taraf seluruh tapak pasar malam itu termasuk menurap kawasan niaga dan mengarahkan peniaga menggunakan kanopi yang seragam berwarna kuning.

“Dengan imej baru pasar malam ini, ia dijangka mewujudkan persekitaran pelancongan bertaraf antarabangsa di samping terus memelihara keunikan budaya niaga masyarakat Kelantan,” katanya.

INFO

# Pasar ini beroperasi setiap hari dari jam 6 petang hingga 1 pagi di pekan Wakaf Che Yeh. Ia terletak di Jalan Kuala Krai, kira-kira 3 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

# Selepas jam 1 pagi, tapak pasar akan bertukar kepada ‘pasar basah’ pula untuk perniagaan makanan mentah keperluan harian. Penjual terdiri dari peniaga di kompleks pasar borong bersebelahan tapak pasar malam itu.

# Pada hujung minggu atau cuti umum, sambutan pengunjung bertambah lebih dua kali ganda memaksa peniaga melanjutkan perniagaan mereka sehingga jam 2 atau 3 pagi.

-harianmetro

1 comment:

akula said...

Ambo gi masa cuti sekolah dulu, ramainya manusia. Nak paking kereta pun payah. Tapi meme berbaloi, macam2 ada....

Followers

My Blog List