Thursday, March 12, 2009

Dataran MPKB jadi jalan raya semula

Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB BRI) yang diwujudkan sejak 1996 di tengah-tengah pusat bandar, tidak lama lagi akan dikembalikan fungsinya sebagai jalan raya.

Ketika itu Jalan Tok Hakim yang terletak berhampiran stesen bas SKMK dijadikan sebagai dataran, lengkap dengan kemudahan wakaf dan kios. Lokasi itu pernah menjadi tempat khemah tarawih pada bulan Ramadan.

Namun sekarang disebabkan kesesakan lalu lintas yang semakin sendat jalan akan diwujudkan kembali di lokasi tersebut, lebih-lebih lagi di kawasan itu sedang dibangunkan Kota Bharu Trade Centre (KBTC).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, pembukaan semula laluan tersebut bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin ketara sekarang.

"Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya pada musim cuti sekolah, Dataran MPKB akan diroboh dan dijadikan jalan raya sebagaimana fungsi asal.

"Di samping itu juga pertambahan aliran lalu lintas yang semakin mendesak sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendorong kerajaan negeri membuka semula laluan dua hala di situ," katanya selepas mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Menurutnya bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi meroboh dataran dan dibina semula jalan.

Menurutnya MPKB-BRI telah mengeluarkan tender untuk membina semula laluan terbabit.

Kata beliau keputusan itu dibuat bersesuaian dengan proses pembangunan yang semakin ketara khususnya di kawasan pusat Bandar Kota Bharu dan wujudnya KBTC.

Katanya dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, jalan berkenaan dijangka dapat digunakan sepenuhnya.

Mengenai pembinaan KBTC, beliau berkata, tempoh siap sepenuhnya pembinaan bangunan itu menjelang 2013, di mana sekarang mencapai kemajuan sekitar 50 peratus.

No comments:

Followers

My Blog List