Saturday, June 6, 2009

Contohi kepimpinan Mursyidul Am

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nazir Zakaria menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PAS agar mencontohi kepimpinan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ikhlas.

Berucap bagi menyokong Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar PAS ke-55 dekat sini, Ustaz Nazir mengingatkan seluruh ahli PAS agar tidak tenggelam di sebalik nikmat kemenangan hari ini.

Katanya, inilah masa untuk bekerja berdasarkan janji yang telah diberikan kepada rakyat dan melaksanakan amanah dengan penuh keadilan dengan merealisasikan konsep Kepimpinan Ulama di negeri yang diperintah.

Beliau juga menggesa ahli PAS khususnya dari kalangan Adun, Ahli Parlimen dan pemegang-pemegang jawatan dalam kerajaan agar mencontohi keikhlasan Mursyidul Am PAS.

"Kita mahu pemimpin yang ikhlas bukannya menjadi pemimpin 'E-Class'," ujarnya lagi.

Katanya, terdapat golongan yang berubah setelah menerima kemenangan dan mendapat jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa jawatan seharusnya menjadikan seseorang itu lebih bertakwa.

Sebagai gerakan Islam, PAS juga perlulah memainkan peranan penting dalam membela umat Islam seluruh dunia dengan pemerkasaan jaringan bersama gerakan Islam antarabangsa, katanya.

"Gerakan Islam antarabangsa perlu mengambilalih peranan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dilihat gagal membela umat Islam dari keganasan antarabangsa.

"Penyertaan PAS di peringkat antarabangsa perlu diberi sokongan padu kerana PAS mampu dilihat sebagai model ke tengah masyarakat sebagaimana kerajaan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz," ujarnya.

Beliau juga melahirkan harapan agar 'engagement' PAS diperluaskan dengan mengorak langkah menganjurkan lebih banyak program di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, usaha itu sesuai dengan sifat alamiah gerakan Islam dan pendekatan yang telah ditunjukkan Baginda Rasulullah s.a.w.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menempelak pendekatan "Satu Malaysia" oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak.

"Kalau dulu dia ambil setakat kapal selam dan jet, sekarang ini 'Satu Malaysia' dia hendak beri kepada 'RM'," sindirnya yang merujuk 'RM' sebagai Rosmah Mansor.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut menggesa agar pembahagian kerusi untuk pilihan raya di Wilayah Persekutuan diperhalusi semula pimpinan PAS. - wann/mks. _

-harakah

No comments:

Followers

My Blog List