Thursday, June 11, 2009

Shukery Hashim meninggal dunia

Derita barah pankreas dikesan tiga bulan lalu

AMPANG: Pelakon terkenal, Mohamad Shukery Hashim atau Shukery Hashim menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, jam 1.45 petang semalam akibat barah pankreas tahap empat yang dideritainya sejak tiga bulan lalu.

Shukery, 55, dimasukkan ke hospital, Jumaat lalu bagi mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit di bahagian perut.

Isterinya, Faridah Mat Desa, 51, berkata sebelum ini arwah pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreas 22 April lalu di Hospital Selayang dan sejak itu kesihatannya mula merosot.

"Sepatutnya arwah menjalani rawatan kemoterapi tetapi dia sering menangguhkannya atas pelbagai alasan. Jadi, apabila dia mengadu sakit, kami pun menghantarnya ke PPUKM.

"Sepanjang berada di sana, dia sering mengadu tidak dapat tidur kerana terlalu sakit. Malah ada ketika dia terasa kakinya seperti kudung kerana terlalu kebas dan meminta saya merendamkannya di dalam air," kata Faridah ketika ditemui di kediamannya di Taman Fairuza, di sini.

Mengulas lanjut keadaan suaminya, Faridah berkata walaupun Allahyarham menderita, dia tidak pernah menunjukkan kesakitannya itu kepada anggota keluarganya yang lain.

"Ketika di hospital, arwah rancak berbual dan bergurau seperti waktu dia masih sihat dulu. Cuma dalam kami bersembang itu sempat juga dia berpesan menjaga anak kami dengan baik, terutama anak bongsu kami, Amirul.

"Dia mahu saya memberi tumpuan kepadanya kerana dialah satu-satunya yang masih di bangku sekolah. Jadi dia tidak mahu anak bongsunya itu terjebak dalam gejala kurang sihat." katanya.

Jenazah Allahyarham dikafan dan disembahyangkan di rumahnya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan lima anak, iaitu Norshikin, 28; Norizety, 26; Mohd Firdza, 25; Mohd Aidil, 22; dan Mohd Amirul, 14 serta tiga cucu yang berusia antara dua bulan hingga tiga tahun.

Pelakon serba boleh ini memulakan kariernya dengan drama radio pada 1975 diikuti dengan drama TV pada 1984. Sehingga kini lebih ratusan drama dibintanginya, termasuk yang sedang ditayangkan Cinta Gila di Astro Prima, dengan Allahyarham memegang watak Mahmood seorang penyanyi lama yang ingin kembali aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Allahyarham pernah membintangi tujuh filem dan kemunculan sulungnya adalah melalui filem Rahsia arahan Othman Hafsham pada 1987, diikuti Syahadat, Ujang, Pesona Cinta, Seri Dewi Malam, Janji Diana dan terakhir Shh... Dia Datang arahan Saiful Apek yang belum ditayangkan.

-bh

No comments:

Followers

My Blog List