Wednesday, December 9, 2009

1,191 kes tipu perbankan internet

Sebanyak 1,191 kes penipuan membabitkan wang berjumlah RM1 juta, dipindahkan melalui perbankan Internet dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung berkata jumlah kes penipuan itu masih kecil berbanding jumlah keseluruhan transaksi perbankan Internet dalam tempoh yang sama.

"Keseluruhan transaksi Internet bagi tempoh Jan hingga Jun tahun ini berjumlah 50.3 juta, melibatkan RM348.5 bilion, dengan kerugian hanya dalam lingkungan RM1 juta iaitu 0.0003 peratus sahaja," katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) pada persidangan Dewan Rakyat.

Fong ingin mengetahui bilangan kes jenayah perbankan Internet yang dikesan serta nilai kerugian yang dialami pemegang akaun bank.

Chor berkata antara langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan keselamatan penggunaan perbankan elektronik ialah dengan mengeluarkan garis panduan kawalan keselamatan yang perlu dipatuhi oleh semua institusi yang menyediakan perbankan Internet dan ATM.

"BNM juga telah mengarahkan pelaksanaan penentusahan dua faktor bagi transaksi perbankan Internet yang berisiko tinggi.

"Penentusahan faktor pertama iaitu nama pengguna dan nombor PIN akan dilengkapi dengan penentusahan faktor kedua melalui penggunaan alat penentusahan tambahan seperti kod kebenaran transaksi yang diperoleh melalui sistem pesanan ringkas (SMS), sijil digital, kad pintar atau token Universal Serial Bus (USB)," katanya.

Beliau berkata institusi perbankan juga perlu memastikan infrastruktur sistemnya dilengkapi kawalan keselamatan bagi mengesan dan melaporkan sebarang transaksi perbankan yang mencurigakan.

"Institusi perbankan juga dikehendaki melaporkan sebarang kejadian penipuan dengan segera kepada BNM selain menjalankan program pendidikan dan kesedaran pelanggan secara berterusan mengenai keselamatan dan langkah berjaga-jaga terhadap penipuan perbankan elektronik ini," katanya. BERNAMA

Monday, December 7, 2009

Tragedi KB Mall: Mangsa minta RM50 sebelum maut

Bapa salah seorang mangsa, yang terbunuh kerana dihempap sebuah kereta di Pasaraya KB Mall di Kota Bharu, berkata anaknya itu memberitahunya bahawa beliau sihat tetapi meminta memasukkan RM50 ke dalam akaunnya.

Samsudin Abd Rahman, 52, berkata beliau tidak menyangka itulah permintaan terakhir anak ketiga daripada enam beradik, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, sebelum meninggal dunia dalam kejadian di mana sebuah kereta jenis Ford Lser TX3 terjunam dari tempat parkir tingkat tiga pasar raya itu dan menghempap mangsa.

"Kali terakhir saya bertemu dengan dia pada hari raya Aidiladha yang lalu. Semalam tiga kali saya menelefon dia untuk bertanya khabar.

"Tiada sebarang perubahan pada dia. Dia hanya memberitahu saya dia tidak mempunyai wang dan meminta saya memasukkan wang sebanyak RM50, itu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu malam tadi.

Mangsa yang berasal dari Felda Chiku, Gua Musang, pelajar tahun satu, semester tiga di sebuah kolej perubatan Masterskill di Kota Bharu meninggal dunia di tempat kejadian itu.

Samsudin berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu setelah mendapat panggilan telefon daripada pihak pengurusan kolej kira-kira pukul 5.30 petang semalam sebelum beliau dan keluarga bergegas ke HRPZII.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, dua pelajar perempuan kolej itu cawangan Kota Bharu maut, Siti Nor Amira dan Siti Nor Diana Azman, 18 manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta jenis Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Nor Ain itu rosak dan ditolak oleh rakan beliau yang dikenali sebagai Sabri dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang bumbung pasar raya itu, lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar tersebut di tingkat bawah pasar raya berkenaan. BERNAMA

Tragedi KB Mall





Tragedi kereta terjunam dari roof parking ke dalam ruang legar KB Mall pada 06 Disember 2009 pukul 5.40 petang

Followers

My Blog List