Sunday, October 31, 2010

Hadiah Istimewa Sempena Pemasyhuran Sultan Muhammad Ke-V


KELANTAN muncul juara Piala Malaysia edisi kali ke-84 setelah mengalahkan juara musim lalu, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih manis, kejayaan muncul juara pertama kali itu merupakan hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V. Kejayaan malam tadi membolehkan nama Kelantan terpahat dalam senarai pemenang kali pertama dalam perebutan piala paling berprestij itu sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1921.

Beraksi di hadapan hampir 90,000 penonton, dengan didominasi sokongan penyokong setia Merah Putih, The Red Warriors jelas membuktikan mengapa mereka tidak boleh digelar sebagai kuasa baru dalam arena bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi kelas yang tersendiri biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa yang pertama.

Sementara kekalahan malam tadi memaksa barisan pemain Negeri Sembilan menelan kepahitan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu apabila terpaksa merelakan piala tersebut untuk dibawa pulang ke bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.

Dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua menerusi jaringan Hairuddin Omar dan Muhd Badhri Radzi akhirnya menjulang Kelantan sebagai juara baru Piala Malaysia edisi kali ke-84.

Seawal minit pertama, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Negeri Sembilan apabila sepakan percuma Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan penjuru pintu gol ditanduk tinggi oleh Mohd Rizal Fahmid Abd Rosid melepasi palang gol Negeri Sembilan.

Selang seminit kemudian, Negeri Sembilan melakukan serangan balas menerusi lorongan bola Abdul Halim Zainal kepada rakan sepasukan namun Khairul Fahmi Che Mat bijak meluru keluar menyelamatkan situasi tersebut.

Pada m-7, Negeri Sembilan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila hantaran lintang S Kunalan disambut Idris Abdul Karim tetapi tampanan kurang kemasnya mudah diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-14, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti setelah Khairul Fahmi menjatuhkan pemain Negeri Sembilan dalam kotak penalti dalam usahanya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi. Penyerang, Shahurain Abu Samah yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi seterusnya menghasilkan gol pertama Negeri Sembilan.

Walau bagaimanapun, gol pendahuluan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Kelantan. Pada m-29, Kelantan mempunyai peluang terbaik merapatkan jurang apabila Hairuddin Omar berjaya melepasi perangkap ofsaid namun penjaga gol, Mohd Sani Annuar Kamsani terlebih dahulu meluru keluar menyelamatkan bola.

Sebaliknya, Negeri Sembilan lebih ghairah memburu jaringan apabila dilihat lebih banyak menjanakan corakan serangan melalui rangkaian penyerang muda, Shahurain Abu Samah dan Abdul Halim Zainal yang mendapat sokongan jentera tengah mereka.

Dua peluang terbaik Negeri Sembilan hadir pada m-30 dan 34 perlawanan menerusi percubaan jarak jauh Idris dan Kunalan yang menyaksikan ianya sekadar tersasar dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai tiga peluang terbaik merapatkan jurang menerusi percubaan Hairuddin, Indra Putra dan Mohd Norfarhan namun ketangkasan Mohd Sani Annuar menghampakan peluang tersebut.

Babak kedua, Kelantan seakan mendapat aura baru apabila menguasai hampir keseluruhan tempo permainan. Pada m-51, Hairuddin mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi sempat ditampan keluar oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan manakala rembatan susulan Muhd Badhri selepas itu sekadar melepasi palang.

Detik malang bagi Negeri Sembilan bermula enam minit kemudian. Bermula larian bola Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan pintu gol, beliau melakukan hantaran lintang kepada Hairuddin yang menanduk cantik ke penjuru sebelah kanan pintu gol menewaskan Mohd Sani Annuar.

Gol penyamaan tersebut ternyata membakar semangat juang pemain Kelantan sementara Negeri Sembilan terus tertekan selepas kehilangan bek kental mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang terpaksa diusung keluar selepas itu kerana mengalam kecederaan.

Pada m-62, Negeri Sembilan sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi percubaan Shahurain yang merembat kencang tetapi diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-65, Stadium Nasional Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan 70,000 penyokong setia Kelantan apabila Muhd Badhri Radzi berjaya menjaringkan gol kemenangan Kelantan.

Kelalaian benteng pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi terhukum apabila beliau yang menerima umpanan Mohd Norfarhan sebelum itu hanya memerlukan tiga langkah sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sani Annuar buat kali kedua.

Negeri Sembilan yang kian tertekan memasukkan penyerang muda, Mohd Shafik Abdul Rahman menggantikan Qhairil Anwar Roslani namun tidak cukup membantu mencari gol penyamaan.

Dua percubaan terbaik mereka pada m-80 dan masa tambahan masing-masing menerusi Shahurain dan Idris menyaksikan Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penghalang dalam usaha mereka mencari gol penyamaan.

Sementara itu, sepakan percuma Indra Putra pada m-85 sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

Tiupan wisel penamat pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh mengakhiri penantian Kelantan selama 89 tahun menjulang Piala Malaysia dan piala paling berprestij itu akan disimpan di negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kalinya.

Sementara itu, penjaring gol pertama Kelantan, Hairuddin Omar diumumkan Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.

Kelantan cuti umum

KUALA LUMPUR - Hari ini diisytiharkan sebagai cuti umum peristiwa buat seluruh negeri Kelantan sebagai meraikan kejayaan bersejarah skuad Wira Merah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir, semalam.

Ia disampaikan oleh seorang pegawai kerajaan negeri yang mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemu bual oleh RTM dalam siaran langsung perlawanan edisi ke-44 di Stadium Nasional, Bukit Jalil menerusi TV1.

"Kemenangan ini adalah untuk semua rakyat Kelantan dan saya mewakili Menteri Besar, mengumumkan esok (hari ini) sebagai cuti umum peristiwa buat seluruh negeri ini," katanya.

Sementara itu, penjaring gol penyamaan Kelantan, Hairuddin Omar yang mencetuskan kebangkitan mereka daripada ketinggalan 1-0 untuk menjulang gelaran berprestij bola sepak negara itu, berterima kasih kepada seluruh penyokong dan mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan.

"Terima kasih kerana semua pihak bersungguh-sungguh yang mencipta kejayaan ini biarpun mulanya kami ketinggalan. Piala ini berhak dihadiahkan kepada semua rakyat Kelantan sama ada yang hadir beramai-ramai di Stadium Nasional dan di negeri ini yang tidak henti-henti menyokong pasukan ini," katanya.

Pemain kelahiran Setiu, Terengganu berusia 31 tahun ini, menanduk masuk pada babak kedua untuk memadam gol pendahuluan penyerang Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah sebelum Badri Radzi memastikan Piala Malaysia milik Kelantan dengan rembatan kencangnya.

Kejuaraan kali ini turut lebih manis dan pasti terpahat sebagai kenangan indah yang tersendiri dalam karier Hairuddin selepas meraihnya bersama Terengganu pada 2001 dan sebagai pemain Negeri Sembilan yang dipinjamkan oleh kelab negeri asalnya, T-Team, tahun lalu.

Malah jika bekas rakan sepasukan Negeri Sembilan, Shukor Adan diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir tahun lalu, gol penyamaan semalam membawa Hairuddin pula selaku pemilik terbaru gelaran istimewa individu itu.

Penjaring gol kemenangan yang pernah mengetuai Wira Merah, musim lalu, Badri pula menerima anugerah khas penaja, Atasi Diri Anda 100PLUS sambil membawa pulang ganjaran bernilai RM1,000.- utusan

Thursday, October 28, 2010

WIFI DI PERKAMPUNGAN GUA MUSANG, ORANG JELEBU JANGAN BERSEDIH


TIDAK semena-mena atau `tanpa dirancang' maka perkampungan di Gua Musang mencipta rekod `kampung WIFI' pertama di Malaysia. `Kebetulan' projek tersebut dijalankan di Gua Musang sewaktu Pilihanraya Kecil Dun Galas akan berlangsung.

Sebelum ini `kebetulan' juga berlaku di Bagan Pinang apabila kem tentera dijanjikan dengan kemudahan WIFI, kolam renang dan Padang Futsal sewaktu PRK Dun Bagan Pinang.

Setiap kali berlakunya PRK, ada sahaja `projek kebetulan' dan kesemuanya diakui dan dipercayai oleh SPR dan SPRM sebagai `kebetulan'. Jika bukan `kebetulan', sudah tentu ianya merupakan rasuah politik dan ianya menyalahi peraturan dan undang-undang pilihanraya. Tetapi kerana `kebetulan' makan dibolehkan.

Saya tidak tahu samada di Bagan Pinang kem tentera di situ sudah menikmati kemudahan WIFI, kolam renang dan Padang Futsal atau belum. Tetapi, apa yang pasti `projek' pertama selepas Tan Sri Isa Samad menang di Dun Bagan Pinang adalah `projek' Tan Sri Isa sendiri iaitu beliau berkahwin baru setelah kematian isterinya. Saya difahamkan oleh rakan tentera di sana, satu apa pun tidak berjalan sebagaimana yang dijanjikan.

Saya anak Jelebu, MP Jelebu adalah DSU Dr Rais Yatim yang menjadi Menteri yang menjaga hal ehwal komunikasi. Di kampung saya, usahkan kemudahan WIFI, rangkaian 3G pun tiada.

Lojiknya, tentulah kawasan Jelebu terlebih dahulu mendapat kemudahan WIFI tersebut memandangkan MP Jelebu adalah Menteri Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan.

Lagi pun, Jelebu dirasakan lebih baik pembangunannya sedikit dari Gua Musang, cuma bas sahaja yang bermasalah di Jelebu. Namun demikian orang Jelebu jangan kecewa, mungkin jika ada Wakil Rakyat di tempat kita mati nanti adalah WIFI tu tiba secara `kebetulan'.

Gua Musang terdapat ramai masyarakat Orang Asli dan di dalam PRK Dun Galas ini masyarakat Orang Asli akan diberi keistimewaan. Bayangkan orang-orang Asli ini akan menggunakan kemudahan WIFI di rumah mereka.

Saya tidak tahu samada majoriti rumah di Gua Musang sudah memiliki komputer atau tidak. Tetapi, WIFI tetap diberikan cuma bila projek ini akan bermula, Wallahu Aklam. Mungkin esok, lusa, tulat, tahun depan atau selepas `kiamat'.
dicatat oleh drs. khalil idham lim

Followers

My Blog List