Friday, February 4, 2011

Jangan keluar kenyataan 'separuh masak'

KUALA LUMPUR - Pemimpin peringkat tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat 'separuh masak' kepada media bagi program yang belum mendapat persetujuan daripada Exco badan induk bola sepak negara itu.

Peringatan tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa ekoran laporan media mengenai cadangan FAM untuk menghantar tiga pemain negara untuk menimba pengalaman dalam Liga Jepun (Liga-J) yang disiarkan kelmarin.

Tanpa mahu menujukan teguran tersebut kepada mana-mana individu, Annuar berkata, kenyataan itu sepatutnya diperhalusi terlebih dahulu kerana boleh mencetuskan polemik di kalangan pemain, persatuan bola sepak negeri dan penyokong yang terlibat.

''Mana-mana pemimpin dalam FAM sepatutnya kena maklumkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Eksekutif yang lain sebelum keluarkan kenyataan kepada media.

''Kenyataan 'separuh masak' seperti ini boleh mencetuskan keresahan di banyak peringkat sedangkan ia masih belum pasti jadi atau tidak.

''Buat pemain yang terlibat, mereka pasti keliru kerana masih terikat dengan kontrak dengan pasukan negeri, sementara persatuan negeri pula sudah tentu resah kerana bimbang akan kehilangan tonggak utama pasukan," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM dalam perancangan menghantar tiga pemain menjalani pemilihan ke Liga Jepun (Liga-J) dan sedang menunggu jawapan daripada Persekutuan Bola Sepak Jepun (JFA).

Tiga pemain terbabit ialah dua tonggak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha serta penyerang Selangor, Safee Sali yang dikhabarkan bakal berhijrah ke Indonesia bulan ini.

Idea itu timbul semasa pertemuan pada Kongres AFC di Doha pada 6 Januari lepas melibatkan seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Setiausaha JFA, Kohzo Tashima.

Annuar menjelaskan biarpun FAM merupakan badan induk bola sepak negara, ada sesetengah perkara masih tertakluk kepada kepentingan persatuan bola sepak negeri.

''Sebagai contoh apabila ia melibatkan kontrak pemain, persatuan negeri mempunyai hak kepada pemain tersebut dan FAM tidak boleh membelakangi hak tersebut.

''Sepatutnya ia harus mengikut saluran yang betul melalui persatuan bola sepak negeri sekiranya mahu membawa pemain berkenaan bermain di luar negara seperti mana yang dilakukan oleh Selangor terhadap Safee Sali," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata mungkin terdapat banyak masalah buat Safee Sali jika JFA memberikan jawapan positif, memandangkan penyerang Selangor itu dikatakan hampir pasti ke Liga Super Indonesia (ISL).

''Jika Safee sudah bermain di sana, saya fikir amat sukar dia dapat memenuhi tuntutan berkenaan, memandangkan dia sudah ada kontrak dengan sebuah kelab di luar Malaysia," katanya.

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Tuesday, January 25, 2011

Kafa Lantik Sathianathan Sebagai CEO Kejurulatihan

KOTA BAHARU, 25 Jan - B Sathianathan yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa semalam tetap mendapat perhatian sewajarnya oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang mengumumkan bekas ketua jurulatih itu kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kejurulatihan Kafa.

Pelantikan yang diumumkan Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa itu membolehkan Sathianathan bertanggungjawab sepenuhnya dalam bidang teknikal kejurulatihan bagi membimbing bakat-bakat baru sebagai pelapis pada masa depan.

"Walaupun Kelantan kehilangan ketua jurulatih di saat kita menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih dan musim baru Liga Malaysia tidak lama lagi, namun khidmat Sathianathan masih diperlukan.

"Hari ini kita melantik dia (Sathianathan) sebagai CEO dalam pasukan Kelantan dan masih bertanggungjawab dalam bidang kejurulatihan yang tidak membabitkan bidang kuasa FAM," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan insentif RM200,000 oleh kerajaan negeri Kelantan di sini, Selasa.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Abdul Fatah Mahmood dan Sathianathan.

Katanya khidmat Sathianathan masih diperlukan kerana Kafa melalui Kelab Red Warriors sedang mempelopori akademi bola sepak di peringkat remaja bagi melahirkan pemain pelapis negeri yang mampu meneruskan kecemerlangan dalam bidang bola sepak di negeri ini.

"Kita akur dengan keputusan FAM itu dan sedang mengambil langkah pro-aktif untuk menggunakan khidmat bekas ketua jurulatih itu dengan mengambil pendekatan yang boleh membawa kebaikan kepada Kafa," katanya.

Annuar berkata berikutan kekosongan itu, Kafa kini sedang mengintai beberapa jurulatih tempatan dan luar negara bagi mengisi tempat Sathianathan itu.

Sementara itu, Sathianathan yang ditemui berkata beliau akan menggunakan saluran tertentu untuk membuat rayuan semula penggantungannya mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan supaya dapat dipertimbangkan FAM.

Sumber: Bernama
Foto: Kelate.Net
http://trwfmradio.blogspot.com

Followers

My Blog List